Sunday, March 20, 2011

Sikap 'tak kisah' bawa padah

TIDAK berkualiti, membahayakan kesihatan, merugikan pengguna dan pelbagai kesan negatif didapati pada barangan tiruan. Pun begitu, masih ramai pengguna di Malaysia berdegil apabila terus menjadi 'hamba' barangan tiruan meskipun menyedari pelbagai risiko menanti.
Pelbagai tindakan undang-undang dilaksanakan, namun masih ada yang berdegil apabila terus menjual barangan berkenaan secara haram dan berleluasa.

Pasar raya, pasar malam, 'down town', 'up town' antara lokasi popular menjual barangan tiruan seperti kasut, jersi bola sepak, beg, peralatan kosmetik, alat ganti kereta, ubat-ubatan, makanan dan peralatan elektrik.
Ketua Pengarah Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Roslan Mahayudin berkata, sepanjang tahun lalu, nilai rampasan berjumlah RM13.78 juta membabitkan 1,328 kes berjaya ditumpaskan, manakala sehingga Januari tahun ini sebanyak RM500,000 nilai rampasan membabitkan 170 kes.

Antara produk dirampas ialah makanan, ubat-ubatan, kosmetik, peralatan komunikasi, perkakas komputer, barangan kulit, minuman keras, alat ganti kereta, cermin mata dan barangan elektrik.

Menurutnya, faktor utama menyebabkan penjual barangan tiruan terus berleluasa disebabkan ada permintaan tinggi daripada pengguna yang mahukan barangan berjenama tetapi murah tanpa mengira faktor keselamatan yang memudaratkan diri.
Foto
JADI PILIHAN...kebanyakan masyarakat memilih membeli barangan tiruan disebabkan harga lebih rendah.
Paling berbahaya ialah ubat-ubatan, terutama pil kurus atau produk makanan yang boleh menjejaskan kesihatan hingga membawa maut jika pengguna tidak peka terhadap label pada bekas atau bahan digunakan.

"Pengguna punya hak jika berasa mereka tertipu dan boleh membuat laporan kepada KPDNKK. Mereka juga perlu tahu ciri-ciri disahkan yang patut ada dalam sesebuah produk seperti mempunyai pengesahan Kementerian Kesihatan (KKM), Institut Penyelidikan Industri dan Standard Malaysia (Sirim) dan International Organization for Standardization (ISO).
"Kesedaran mengenai bahaya dan akibat menggunakan barangan tiruan masih di tahap rendah. Ia berikutan sikap 'kedekut' dan tidak kisah yang ada membuatkan mereka lebih selesa menggunakan barangan tidak diiktiraf.

"Pengguna bijak adalah mereka yang mementingkan kualiti dan keselamatan produk biarpun terpaksa membayar lebih, namun kesannya berbaloi dengan apa dibayar," katanya ketika ditemubual di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

Beliau berkata, kebanyakan rakyat Malaysia 'mencintai' barangan berjenama, terutama buatan luar negara, namun kurang mampu memilikinya disebabkan harga terlalu mahal.

Justeru, sebagai jalan singkat, mereka lebih gemar memilih produk sama namun berbeza daripada segi kualiti dan mutu pembuatannya. Yang penting, mereka tetap kelihatan bergaya pada pandangan orang ramai.

"Memanglah semua orang mahu beli barang dengan harga lebih rendah, namun harus diselidik latar belakang produk terbabit. Sebagai contoh, alat ganti kenderaan tidak tulen digunakan apa hasilnya kelak.

"Jangan kerana terlalu lokek hingga mengancam nyawa sendiri serta orang lain. Pengguna harus berfikir akibat dan natijah menggunakan produk tiruan yang semestinya tiada jaminan," katanya kesal dengan tindakan masyarakat yang terus menyokong barangan tiruan.

Menurutnya, kesan penjualan barangan tiruan bukan hanya kepada pemilik dan pengguna, malah kepada negara.

Katanya, ia secara tidak langsung menjejaskan ekonomi negara disebabkan pelabur luar negara tidak yakin melabur di Malaysia akibat lambakan barangan tiruan yang mudah didapati.

Roslan turut menasihatkan orang ramai, terutama pemilik cap dagang, supaya segera membuat laporan jika tahu produk mereka disabotaj oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Hanya pemilik cap dagang dibenar membuat laporan jika mendapati produk mereka dimanipulasi pihak ketiga. Sebagai contoh tahun lalu, KPDNKK mendapat laporan ada pihak cuba mengelirukan pelanggan dengan menggunakan jenama tudung sama dijual di pasaran.

"Jika situasi ini berlaku, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 kerana membuat, mengedar dan menjual barangan tiruan dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat pula denda RM250,000," katanya.

Selain memerlukan maklumat orang awam, KPDNKK menghantar pegawai risikan di kawasan yang dikenal pasti sebagai 'hotspot' seperti Sungei Wang Plaza, Bukit Bintang dan Jalan Petaling.

Manakala di kawasan luar Kuala Lumpur pula seperti Batu Feringgi, Pulau Pinang; sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru; Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak.

"Pihak kami sentiasa membuat pemantauan terhadap lambakan barangan tiruan, terutama membabitkan aduan orang awam.

"Untuk makluman, tahun lalu kami berjaya mencapai tahap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan iaitu 30 peratus manakala tahun ini pula 50 peratus dan akan cuba mencapai tahap berkenaan.

"Contohilah negara maju seperti Jepun, Korea, Kanada dan United Kingdom (UK) kerana peniaga dan pembeli di sana segan menjual dan membeli barangan cetak rompak," katanya.

No comments:

Post a Comment