Wednesday, June 5, 2013

Barang Tiruan Banjiri Pasar Raya

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Setelah sekian lama membanjiri pasar malam, kini barang tiruan turut memasuki pasar raya dan dijual pada harga yang sama dengan barang asli.

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata penjualan barangan tiruan menjadi semakin berleluasa kerana pengguna jahil tentang hak mereka.

"Orang ramai perlu dididik bagaimana hendak membezakan antara barang asli dan barangan tiruan," kata presiden Fomca N. Marimuthu dalam temubual dengan Bernama.

Beliau berkata ramai pengguna menjadi mangsa pengeluar barangan tiruan kerana sikap mereka yang gemar bertumpu di pusat membeli-belah yang menjual pelbagai jenis barangan.

"Pengguna perlu dididik tentang hak mereka kerana peniaga boleh mencampuradukkan barang yang dijual sesuka hati.

"Kawalan tidak dibuat dengan sewajarnya. Jika pihak berkuasa ingin membuat pemeriksaan, ia mesti dibuat sepanjang tahun dan bukan pada musim perayaan saja," katanya.

Marimuthu berkata isu penjualan barangan tiruan heboh diperkatakan beberapa minggu sebelum sambutan Deepavali dan Aidilfitri.

"Keadaan ini menjadi bertambah buruk kerana tidak ada penguatkuasaan," katanya.

Beliau menasihati pengguna supaya meminta sijil jaminan ketulenan daripada peniaga apabila mereka ingin membeli barangan berharga mahal bagi mengelak daripada terbeli barang tiruan.

Undang-undang memperuntukkan bahawa pembeli boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga yang menjual barangan palsu dalam tempoh tiga tahun sesuatu barang itu dibeli.

Sejak 12 tahun lepas, pihak berkuasa telah merampas barangan tiruan bernilai RM198 juta di negara ini.

Antara produk yang paling banyak dijual sebagai barangan tiruan ialah produk petroleum, makanan, pakaian, barangan elektronik dan cakera optik.

Tahun lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna membuat 3,667 serbuan dan merampas barangan tiruan bernilai RM78 juta.

Antara Januari dan Jun lepas, kementerian itu melancarkan 1,745 serbuan dan merampas barangan bernilai RM11.2 juta.

-- BERNAMA

1 comment:

  1. Best Casinos With Craps Near Me - LegalBet.co.kr 온라인카지노 온라인카지노 bet365 bet365 426doubledown casino no deposit bonus codes 2021

    ReplyDelete